Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan, Asisten Komisioner Mohd
Nadzri Hussain, telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar ibu negara
akan ditutup secara berperingkat sempena perarakan sambutan Thaipusam
pada 8, 10 dan 11 Februari ini. Di mana penutupan pertama bermula dari
jam 12.30 tengah malam sehingga jam 2 petang pada 8 Februari.
“Perarakan kereta berhala Silver Chariot bermula dari kuil Sri Maha
Mariamman, Jalan Tun H S Lee ke kuil Sri Subramaniar Batu Caves.
Penutupan berikutnya ialah mulai jam 4 petang 10 Februari (Jumaat)
hingga jam 2 pagi 11 Februari (Sabtu), iaitu bagi perjalanan dari kuil
Sri Subramaniar ke kuil Sri Maha Mariamman,” ujarnya seperti mana yang
dilaporkan menerusi Berita Harian.
Beliau turut berkata, laluan terbabit adalah Jalan Sultan, Jalan
Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi
Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan
Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu
Caves.
Semua penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat iaitu
mengikut pergerakan kumpulan terbabit dan dibuka semula selepas
perarakan selesai.