SHAH ALAM - Pengurusan Apartmen Klang Villa, Pandamaran terbeban dengan
tunggakan penyelenggaraan pemilik yang tidak dibayar mencecah lebih
RM700,000 sehingga gagal membuat kerja selenggara dengan sempurna.
Pengurus Apartmen Klang Villa, Arun Kumar berkata, bayaran tertunggak
sejak 2009 menyukarkan lagi kerja penyelenggaraan apartmen, walaupun
tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik rumah yang enggan
membayar kos tersebut.
“Hanya 40 peratus daripada pemilik rumah yang mahu bayar bil
penyelenggaraan setiap bulan, manakala yang selebihnya tak mahu bayar.
Susahlah kita mahu buat kerja penyelenggaraan.
“Tetapi kita usahakan juga baiki lif yang rosak dengan wang yang ada
dan kadang-kala terpaksa berhutang dan bayar secara ansuran kepada
syarikat yang baiki lif untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.
Arun berkata, setiap bulan badan pengurusan memerlukan RM50,000 bagi
menampung semua kos pentadbiran, urusan pembayaran gaji kakitangan dan
pegawai keselamatan, kos membaiki lif serta kos kebersihan apartmen.
Bagaimanapun, pihaknya hanya menerima kutipan paling tinggi RM40,000 sahaja daripada pemilik rumah.
“Kolam renang yang kita sediakan untuk penyewa dan pemilik rumah di sini pun kita terpaksa tutup sebab kekurangan dana.
“Ia tidak selamat lagi digunakan sebab berlaku keretakan di dasar kolam
renang sejak pemaju serahkan pentadbiran kepada kami. Jadi kita buat
keputusan untuk tutup dan mungkin kita ganti tempat itu dengan taman
permainan, tetapi itu semua pun perlukan kos yang tinggi.
“Bukan semua yang tidak mahu bayar kos penyelenggaraan, tetapi jika
yang tak mahu bayar itu tertunggak hingga lebih RM20,000, bagaimana kami
mahu buat kerja?,” katanya.
Mohon bantuan kerajaan
Pihaknya bagaimanapun berusaha membaiki kekurangan apartmen itu dengan
memohon Skim Ceria di bawah kendalian kerajaan negeri, namun ditolak
atas alasan apartmen itu bukan pangsapuri kos rendah.
“Walaupun permohonan kami ditolak kerajaan negeri, kami masih lagi mahu
membantu penduduk di sini dengan memohon program Tabung Penyelenggaraan
1Malaysia di bawah kendalian Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Program ini layak untuk perumahan ini kerana ia dikira apartmen berkos
sederhana. Harap kerajaan pula sudi bantu kami,” katanya.
Menurutnya, kesemua empat blok di apartmen itu juga berfungsi dengan
baik tetapi gejala vandalisme tidak mampu dikawal dan menyebabkan lif
mudah mengalami kerosakan.
“Untuk blok B, C dan D memang ada dua sepatutnya, tetapi kami hanya kekalkan satu lif untuk kegunaan semua.
“Kita tak mampu betulkan satu lagi lif akibat kekurangan dana. Kalau
nak betulkan lif saja perlukan kos lebih RM40,000, sedangkan bayaran
penyelenggaraan pun pemilik rumah tak mahu bayar,” katanya.
Pihaknya juga berharap penyewa dan pemilik apartmen melunaskan segala
tunggakan dengan segera bagi memudahkan pihak pengurusan membaiki segala
kerosakan di apartmen itu.
Aduan tidak pernah dilayan
Sementara itu pemilik rumah, Lee Chun Cheng, 62, kesal kerana aduan
mengenai ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan apartmen tidak
pernah didengar.
“Saya sudah beli rumah ini sejak ia dibina pada 1997, tetapi lif selalu rosak.
“Susah untuk kita bergerak sebab kita pun sudah tua, lif ada dua tapi
boleh pakai satu saja. Saya mohon pihak pengurusan selesaikan masalah
ini segera,” katanya.
Chun Cheng turut menyatakan rasa bimbang terhadap keselamatan penduduk
kerana kawasan apartmen dihuni terlalu ramai warga asing.
“Pemilik asal banyak sewakan rumah mereka kepada warga asing dan
kecurian kerap berlaku di sini. Saya sebagai pemilik awal rumah di sini,
bimbang dengan keselamatan keluarga saya.
“Kolam renang pun sudah ditutup oleh pihak pengurusan, sedangkan
apartmen ini merupakan yang pertama di Klang ada kolam renang tapi tak
boleh pakai,” katanya.
Dia turut mengakui, tidak mahu membayar kos penyelenggaraan kerana
terlalu kecewa dengan sikap pengurusan yang lepas tangan dengan masalah
yang dihadapi pemilik apartmen.
“Buat apa bayar kalau mereka tidak mahu buat kerja. Kita punya aduan mereka tidak dengar pun,” luahnya kecewa.
Rumah sering dimasuki pencuri
Pemilik rumah, Khafisah Ishak, 45, turut melahirkan rasa kecewa dengan
sikap yang ditunjukkan pihak pengurusan apartmen yang tidak serius
dengan aduan dibuat.
“Saya tinggal di sini sejak 2003 tetapi kecewa dengan sikap pengurusan
yang enggan dengar masalah kami. Rumah saya saja sudah tiga kali
dimasuki pencuri dan terpaksa tanggung kerugian hingga RM16,000.
“Saya pula bayar wang penyelenggaraan setiap bulan. Tak adillah layan
kami yang bayar wang penyelenggaraan setiap bulan sama dengan yang tak
bayar,” katanya.
Menurutnya, dia berharap pihak pengurusan mampu menyelesaikan masalah apartmen itu dengan segera.
“Mungkin ada yang tidak mahu bayar wang penyelenggaraan, tetapi macam
mana pula nasib kami yang bayar setiap bulan? Masih sama jugakah layanan
yang kami terima,” katanya.
Rujukan : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tunggakan-lebih-rm700-000-1.358401